MENGENAL HATI YANG SAKIT

Mungkin ramai di antara kita yang tidak mengetahui tentang keadaan hatinya.

Apakah ia sedang sihat, atau apakah ia sedang sakit atau lebih dahsyat lagi bahawa sebenarnya hatinya telah mati. Sedangkan yang memiliki hati tersebut tidak menyedarinya sama sekali. Tentu kita akan termasuk dalam orang yang rugi di dunia mahupun akhirat.

1. Ciri-ciri Hati yang Sakit.

Tanda-tanda hati yang sakit atau mati adalah:

Jika ia tidak merasakan akan kenistaan dan hinanya kemaksiatan. Kerana hatinya telah diracuni oleh dosa, sehingga tidak dapat lagi membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Seandainya hatinya masih hidup dan sihat, pasti ia akan merasakan betapa seksanya malapetaka yang menimpa kehidupannya lantaran dosa-dosa dan kemaksiatan yang ia lakukan. Tetapi hati yang sakit tidak merasakan betapa nikmatnya hati yang suci, sehingga ia suka menahan penderitaan daripada mencari ubat yang sesuai untuk hatinya.

Berpaling daripada makanan yang utama untuk hati, yang berguna untuk kesejahteraannya. Namun yang dipilihnya makanan yang kotor dan penuh dengan racun dosa. Hati yang sihat lebih mengutamakan sesuatu yang bermanfaat, tetapi hati yang sakit lebih suka mencari kuman kemaksiatan dan dosa. Kerana sesungguhnya makanan yang terbaik bagi hati adalah iman, dan ubat yang paling sesuai adalah Al-Quran.

Penyebab Hati Menjadi Sakit.

Sebab timbul penyakit dalam hati kerana banyaknya fitnah yang tersaran dalam hati tersebut. Fitnah yang berupa fitnah syahwat, fitnah subhat..dsb.

Daripada Huzaifah bin Al-Yaman ra. mengatakan bahawa Rasullah SAW bersabda maksudnya:

"Fitnah itu diperlihatkan kepada manusia bagaikan membentangkan tikar, akan nampak seutas demi seutas anyamannya. Setiap hati yang terkena fitnah, pasti akan ternoda oleh titik hitam, dan bagi hati yang melawan fitnah maka ia akan diberi noktah atau titik putih. Dengan demikian, hati manusia terpecah kepada dua bahagian, yang berwarna hitam legam dan yang berdebu. Tidak dapat membezakan antara yang hak dan bathil, kerana ia tertawa oleh hembusan hawa nafsunya. Dan hati yang berwarna putih, tidak akan terkena cahaya fitnah selama masih ada langit dan bumi."

(Riwayat: Muslim)

Rasullah SAW membahagikan hati manusia menjadi dua kelompok, iaitu hati yang menerima fitnah dan hati yang menolaknya. Hati yang melihat fitnah langsung menerimanya seperti tanah kering menghisap air, adalah hati yang terkena noda hitam. Begitulah seterusnya, setiap fitnah ia menerimanya tanpa penolakan, sehingga hatinya menjadi bertambah hitam. Jika ini terjadi bererti hati yang jenis ini telah mengalami dua penyakit yang akan menghancurkan diri yang memilikinya.

Pertama, buta untuk membezakan antara kebaikan dan kemungkaran, sehingga masuk ke lembah kesesatan. Hatinya menjadi berbalik, kerana melihat kebaikan bagaikan kemungkaran, dan melihat kemungkaran bagaikan kebaikan.

Kedua, ia menjadikan hawa nafsunya sebagai hakim yang akan membimbing dirinya ke dunia kegelapan.
Hati yang putih bersih, di dalamnya bersinar Nur Keimanan. Jika datang fitnah kepadanya, ia segera menghindarkan diri dan menjauhi fitnah tersebut.

Empat Jenis Racun hati.

Setiap kemaksiatan adalah racun hati, yang merosak kesucian hati sesorang.

Abdullah Ibnul Mubarak berkata:

"Aku lihat dosa-dosa mematikan hati, dan rindu pada berbuat dosa, ia akan mewariskan kehinaan. Meninggalkan dosa bererti menghidupkan hati, kerana itulah yang terbaik untuk dirimu".

Sesiapa yang menginginkan keselamatan dan hatinya sentiasa hidup, hendaklah ia membebaskan dirinya daripada pengaruh dosa. Jika pada saat-saat tertentu kita terlupa, maka segeralah memberi penawarnya dengan cara bertaubat dan beristigfar. Banyakkanlah berbuat kebaikan, kerana kebaikan itu dapat menghapuskan keburukan.

Menurut Dr Ahmad Faried dalam bukunya

"Tazkiyatun Nufuus wa Tarbiyatuha Kama Yuqarriruhu Ulama us Salaf", menjelaskan bahawa ada empat jenis yang menjadi racun bagi hati.

• Pertama, berlebih-lebihaan dalam berbicara

• Kedua, berlebihan dalam memandang

• Ketiga, berlebihan dalam makanan

• Keempat, berlebih-lebihan dalam pergaulan.

Category: